Sunday 26 February 2012

Hormatilah Hak Orang Lain



Sikap menghormati hak orang lain boleh ditakrifkan sebagai memberi penghargaan yang baik kepada seseorang dengan penuh kesopanan. Setiap individu diberikan hak dan kebebasan untuk menjalani kehidupan mereka mengikut peraturan dan undang-undang yang diperuntukkan.


Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, sikap saling menghormati dan toleransi perlu dijadikan amalan. Terdapat tiga perkara utama yang perlu diamalkan oleh anggota masyarakat iaitu menghormati perbezaan individu, menghormati kebolehan dan bakat orang lain serta menghormati pendapat orang lain.


Setiap anggota masyarakat perlu menyedari bahawa setiap individu berbeza baik dari segi kebolehan, pemikiran, agama dan kepercayaan. Perbezaan ini berpunca daripada faktor keturunan, latar belakang ekonomi keluarga, baka, persekitaran tempat tinggal, agama dan didikan yang diperoleh daripada keluarga. Justeru, untuk hidup dalam kelompok masyarakat yang harmoni, perbezaan ini perlu difahami dengan sepenuhnya.



Bakat dan kebolehan individu lain juga perlu dihormati ke arah pengekalan keharmonian masyarakat. Setiap individu dilahirkan dengan bakat dan potensi yang berbeza dan memberi sumbangan berasaskan potensi dan bakat yang mereka miliki dengan cara mereka tersendiri. Justeru, seseorang individu tidak boleh menganggap dirinya sahaja yang mampu memberi sumbangan dan mengenepikan peranan orang lain.


Setiap anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang harmoni jika mereka mengamalkan sikap saling menghormati. Sikap menghormati hak orang lain membolehkan kita menerima hakikat bahawa Tuhan mencipta manusia berpuak-puak dan berbeza-beza. Kita mungkin tidak memahami cara hidup orang lain yang berbeza dengan cara hidup yang kita amalkan, namun melalui amalan sikap toleransi dan menghormati hak orang lain kita akan menerima perbezaan tersebut dan memahami cara hidup orang lain. Sikap ini membuatkan kita lebih empati terhadap kesukaran yang ditempuh oleh orang lain dan menjadikan kita lebih fleksibel untuk hidup bersama dalam pelbagai situasi.


Selain itu, setiap individu juga berhak menyuarakan pendapat masing-masing secara berhemah. Namun kebebasan tersebut perlu berdasarkan norma mesyarakat dan tidak menimbulkan prasangka dan perselisihan faham dalam kalangan masyarakat. Sikap menghormati pendapat orang lain akan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat.

Negara amat memerlukan pendapat dan buah fikiran rakyat untuk membangunkan negara.  Cadangan dan kritikan yang membina boleh dikemukakan melalui saluran yang sah. Pengamalan sikap menghormati hak orang lain akan mewujudkan perpaduan, menonjolkan keperibadian mulia dan melahirkan sebuah negara yang aman dan harmoni.

2 comments: