Sikap menghormati hak orang lain boleh ditakrifkan
sebagai memberi penghargaan yang baik kepada seseorang dengan penuh
kesopanan. Setiap individu diberikan hak dan kebebasan untuk
menjalani kehidupan mereka mengikut peraturan dan undang-undang yang
diperuntukkan.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum,
sikap saling menghormati dan toleransi perlu dijadikan amalan. Terdapat tiga perkara utama yang perlu diamalkan oleh
anggota masyarakat iaitu menghormati perbezaan individu, menghormati
kebolehan dan bakat orang lain serta menghormati pendapat orang lain.
Setiap anggota masyarakat perlu menyedari bahawa
setiap individu berbeza baik dari segi kebolehan, pemikiran, agama dan
kepercayaan. Perbezaan ini berpunca daripada faktor keturunan,
latar belakang ekonomi keluarga, baka, persekitaran tempat tinggal, agama
dan didikan yang diperoleh daripada keluarga. Justeru, untuk hidup dalam kelompok masyarakat yang
harmoni, perbezaan ini perlu difahami dengan sepenuhnya.
Bakat dan kebolehan individu lain juga perlu
dihormati ke arah pengekalan keharmonian masyarakat. Setiap individu dilahirkan dengan bakat dan potensi
yang berbeza dan memberi sumbangan berasaskan potensi dan bakat yang
mereka miliki dengan cara mereka tersendiri. Justeru, seseorang individu tidak boleh menganggap
dirinya sahaja yang mampu memberi sumbangan dan mengenepikan peranan orang
lain.
Setiap anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan
yang harmoni jika mereka mengamalkan sikap saling menghormati. Sikap menghormati hak orang lain membolehkan kita
menerima hakikat bahawa Tuhan mencipta manusia berpuak-puak dan
berbeza-beza. Kita mungkin tidak memahami cara hidup orang lain
yang berbeza dengan cara hidup yang kita amalkan, namun melalui amalan
sikap toleransi dan menghormati hak orang lain kita akan menerima
perbezaan tersebut dan memahami cara hidup orang lain. Sikap ini membuatkan kita lebih empati terhadap
kesukaran yang ditempuh oleh orang lain dan menjadikan kita lebih
fleksibel untuk hidup bersama dalam pelbagai situasi.
Selain itu, setiap individu juga berhak menyuarakan
pendapat masing-masing secara berhemah. Namun kebebasan tersebut perlu berdasarkan norma
mesyarakat dan tidak menimbulkan prasangka dan perselisihan faham dalam
kalangan masyarakat. Sikap menghormati pendapat orang lain akan mewujudkan
keharmonian dalam masyarakat.
Negara amat memerlukan pendapat dan buah fikiran
rakyat untuk membangunkan negara.
Cadangan dan kritikan yang membina boleh dikemukakan melalui
saluran yang sah. Pengamalan sikap menghormati hak orang lain akan
mewujudkan perpaduan, menonjolkan keperibadian mulia dan melahirkan sebuah
negara yang aman dan harmoni.
bagus... kita perlu menghormati kebolehan orang lain.
ReplyDeletegood...
ReplyDelete