Friday 20 January 2012

Emosi Semasa Bekerja

Selamat pagi kepada anda semua lebih-lebih lagi kepada bangsa Salako. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit perkara yang berkaitan dengan emosi dan kerja. Sebelum ini saya telah membincangkan topik ini di laman facebook saya lebih-lebih lagi kerjaya yang bergelar sebagai seorang jururawat. Nampaknya ramai juga bangsa Salako yang telah menceburi bidang ini tidak kiralah yang bertugas di sektor awam mahupun swasta. Tahniah kepada anda semua. Saya tidak menafikan bahawa kerja sebagai seorang jururawat memanglah kerja yang amat mencabar dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja di kilinik-klinik mahupun hospital kerajaan. Sememangnya mereka-mereka ini patut mendapat pujian dan penghargaan. Namun yang demikian, cabaran ini bukanlah menjadi alasan kepada semua jururawat untuk menjalankan tugas dengan baik terutamanya apabila nenberi perkhidmatan kepada para pesakit. Sememangnya anda semua sudah diberikan latihan yang mencukupi untuk mengatasi segala tekanan di tempat kerja seperti ini. 

Apa yang ingin saya perkatakan bukanlah semata-mata berkaitan dengan jururawat. Ini adalah lebih kepada pentingnya untuk kita mengawal emosi semasa bekerja. Ini memberi impak yang penting terhadap persekitaran kita termasuklah orang-orang yang berurusan dengan kita mahupun diri kita sendiri. Emosi adalah perkara penting yang berkait rapat dengan peningkatan kerjaya kita. Hanya mereka yang mempunyai kuasa dalaman yang tinggi yang dapat memamastikan kejayaan dalam diri mereka. Dalam erti kata lain, emosi adalah peransang utama diri anda dalam mencapai kejayaan. Tapi harus ingat, emosi yang dimaksudkan adalah dalam bentuk positif dan bukannya emosi yang negatif.  Emosi positif ini adalah berkait rapat dengan kesabaran, dimana kita dapat mengawal tekanan ataupun perasaan marah ketika bekerja. Thomas Edison telah gagal beribu kali sehinggalah beliau berjaya dengan rekaannya yang pertama yang sangat terkenal diseluruh dunia sehingga ke hari ini. Apakah yang mendorong kepada kejayaan ini? Tentulah kerana beliau mempunya emosi yang positif yang juga sepatutnya ada pada diri anda. 

Kita mempunyai bidang kerja yang berbeza. Sudah pastilah kita juga mempunyai cabaran tugas yang berbeza. Tetapi itu bukanlah alasan utama untuk kita mengamalkan emosi yang negatif semasa menjalankan tugas. Ingatlah untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan emosi yang sempurna terutamanya bagi menjamin persekitaran kerja yang selesa. Saya pasti anda semua mampu melakukannya.

No comments:

Post a Comment