Wednesday 22 February 2012

Renungan Hari Rabu Abu


BERTOBATLAH DAN PERCAYALAH KEPADA INJIL

Suatu hari seorang doktor berkata kepada pesakitnya, “Engkau boleh sembuh, tapi ingatlah keadaanmu sekarang memang tenat.” Pesakit itu menjawab, “Tolonglah doktor, buatlah yang terbaik agar saya pulih seperti sediakala. Saya berjanji apabila sembuh nanti saya akan menderma lima puluh ribu ringgit untuk tabung kebajikan rumah sakit ini.” Beberapa bulan kemudian, apabila pesakit itu sudah sembuh, doktor tersebut bertanya, “Engkau kata apabila sembuh, engkau akan dermakan lima puluh ribu untuk tabung kebajikan rumah sakit ini?” Lalu dijawab oleh bekas pesakit itu, “Jika saya ada mengatakan begitu, maka betullah saya sakit tenat waktu itu” sambil menambah, “Biasalah orang sakit selalu tidak sedar apa yang dikatakannya.”
Ramai orang biasanya tidak rela untuk melepaskan diri daripada apa yang dimilikinya sampailah dia merasakan sesuatu kesakitan, kesengsaraan yang menjadikan dia sedar bahawa hidupnya hampir tamat atau tidak ada harapan lagi. Pada waktu itulah baru kita mula menerokai kemungkinan-kemungkinan di mana kita dapat menempatkan Allah di tengah-tengah kehidupan kita.
Kesakitan dan kesengsaraan tersebut boleh dalam bentuk penyakit atau kematian orang-orang yang tersayang atau putusnya suatu hubungan yang sungguh menyakitkan. Atau mungkin juga dalam bentuk kesedaran terhadap hidup kita yang bertahun-tahun lamanya seakan-akan tidak mencapai apa-apa kemajuan baik dari segi jasmani mahupun rohani.
Apabila merenungi perkara-perkara yang sedemikian ini, saya teringat dengan kata-kata seorang paderi yang sudah lanjut usianya, “Sewaktu saya masih remaja, saya suka bergurau dengan Allah, apabila saya sudah dewasa, saya suka melucu dengan Allah tetapi apabila saya sudah tua, saya menjadi serius dengan Allah.”
Pada hari ini kita di peringatkan tentang hari Rabu Abu. Tanda permulaan masa prapaska yang kita jalani selama empat puluh hari.
Masa prapaska memberi kita kesempatan yang istemewa untuk kembali kepada diri kita agar dapat melihat keadaan hidup kerohanian kita serta memeriksa kesilapan dan bagaimana kita dapat memperbaikinya.
Masa prapaska seharusnya memberikan kita suatu semangat untuk berani bertanya pada diri kita tentang bagaimanakah kedudukan hubungan kita dengan Allah, dengan sesama, dengan alam semula jadi dan dengan diri sendiri? Apakah diri saya ini digunakan hanya untuk mengaut keuntungan, keseronokan, dan kegembiraan yang hanya pentingkan diri sendiri dan sifatnya sementara belaka?
Apakah ada sesuatu yang tidak dapat saya lepaskan sehingga mengakibatkan perhubungan saya dengan Allah, dengan keluarga dan dengan sahabat handai terjejas? Apakah nilai hidup dan keutamaan hidup saya dalam keadaan yang teratur?
Sememangnya apabila kita merenungi segala harta milik, pangkat dan nama yang kita miliki di dunia ini hanyalah bersifat sementara belaka dan ianya tidak akan kita bawa hingga ke alam kematian, maka pesan hari Rabu Abu ini perlu sentiasa kita ingat dan hayati selalu: “…engkau debu dan engkau akan kembali menjadi debu” (Kej 3:19) untuk itu, hendaknya kita, “Bertobat dan percaya kepada Injil” (Mk 1:15). (JL)

1 comment:

  1. Rabu Abu adalah permulaan
    Masa Pra-Paskah, yaitu masa pertobatan,
    pemeriksaan batin dan berpantang guna mempersiapkan
    diri untuk Kebangkitan Kristus dan Penebusan dosa kita.

    ReplyDelete